Saturday, May 19, 2012

SILAP MATA YANG MEMBUNUH ?

AMARAN!
siapa yang tak berani jangan tengok!
Ahli silap mata yang tersilap hingga mengakibatkan isteri sendiri yang terbunuh!


Wednesday, May 9, 2012

KERTAS DARIPADA POKOK - POKOK DARIPADA KERTAS










hasil seni yang sangat halus dan cantik daripada YUKEN TERUYA

PERSAHABATAN YANG SEJATI










Dua sahabat, Emily Bland dan Rishi ( orang utan ) yang masing-masing berusia 3 tahun sungguh asyik bermain bersama di Institute of Greatly Endangered and Rare Species (TIGERS) in Miami, Florida. 
Pertemuan pertama mereka ketika masing-masing tengah merangkak iaitu 2 tahun yang lepas.Ketika itu ayah kepada Emily, Barry seorang jurugambar ingin menyiapkan tugasan di TIGER dan membawa bersama Emily.

SUMBER :


Thursday, May 3, 2012

PM NAJIB CIPTA SEJARAH BARU ?


?????
adakah ini sejarah?

ADMIN- saya kelu, tak tahu nak cakap apa..

BUKU BIODATA - KENAGAN DULU-DULU

Cara manual menjalinkan hubungan





BUKU berbalut kertas warna hitam itu tampak sedikit usang. Ditenung secara kasar, ia tidak ubah seperti buku nota biasa kepunyaan pelajar sekolah. Apabila diselak sehelai demi sehelai lembaran muka surat buku tersebut, terbongkar nostalgia yang mencuit hati.
Cukup popular dengan nama buku biodata, buku peribadi milik Mohd. Haiqal Abdullah Chik, 24, itu dipenuhi profil lebih 200 rakan sekolah menengahnya.
Usia buku itu sahaja sudah mencecah 12 tahun, tetapi masih disimpan sebagai kenangan terindah Haiqal. Masih hijau dalam benak lelaki itu, fenomena buku biodata cukup kuat sehingga hampir setiap remaja dahulu mempunyai buku biodata masing-masing.
"Saya mula membuat buku biodata pada tahun 2001. Ketika itu saya merupakan pelajar tingkatan satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Pendang, Kedah.
"Tujuan asal membuat buku itu adalah bagi mengumpulkan maklumat asas rakan-rakan maktab seperti alamat dan nombor telefon mereka. Kami semua datang dari negeri berbeza dan buku itu penting sebagai rujukan untuk berhubung ketika waktu cuti.
"Maklum sahaja, waktu itu komunikasi menerusi telefon bimbit baru hendak berkembang. Internet pula masih berada pada tahap awal. Hanya buku biodata menjadi pengerat hubungan kami," imbas Haiqal yang berasal dari Kuala Selangor.
Selaku trend yang pantas berkembang, tujuan asal buku tersebut berubah menjadi lebih menarik. Ruangan maklumat asas diri turut memberi peluang kepada rakan-rakan berkongsi informasi yang sebelum itu dikategorikan sebagai rahsia.
Selain nama penuh dan alamat, maklumat seperti nama timangan, makanan dan minuman kegemaran, rakan baik, cita-cita, kata-kata semangat dan artis pujaan menunjukkan betapa ikhlas persahabatan yang dijalin saat itu.
Tidak dinafikan informasi yang dikongsi adakalanya agak tidak relevan tetapi hakikatnya, ia mencerminkan personaliti dan karakter seseorang itu.
"Kelebihan buku biodata terletak pada kesungguhan seseorang itu menghasilkan biodata diri mereka. Masing-masing cuba memberi maklumat terbaik tentang diri dan bangga dengan apa yang ditulis.


POSTER Ziana Zain kerap ditemui dalam kebanyakan buku biodata remaja suatu ketika dahulu.


"Fakta yang diberikan juga tepat dan paling penting adalah kreativiti mereka jelas dilihat berdasarkan biodata yang diisi. Ada dalam kalangan mereka yang mengambil serius buku biodata ini sampai sanggup menghiasnya dengan cantik," jelas Haiqal yang sedang mengikuti program ijazah sarjana muda pendidikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.
Kreativiti perempuan
Seorang lagi bekas pelajar MRSM Pendang, Nur Khalilah Khalid, 24, juga tidak terkecuali daripada memiliki buku biodata ketika zaman sekolah. Menariknya, wanita yang kini bertugas sebagai pembantu juruaudit itu menyediakan buku biodata mengikut kelas.
Bicara anak jati Kuala Lumpur itu, perbezaan ketara antara biodata pelajar lelaki dan perempuan adalah dari segi kreativiti. Tidak dinafikan, perempuan lebih kreatif, manakala lelaki gemarkan biodata ringkas.
"Perempuan suka bersaing menghasilkan biodata yang paling cantik. Selepas melihat kawan lain menonjolkan skil tersendiri, yang lain cuba menyaingi dengan membuat biodata lebih kreatif.
"Disebabkan itu, biodata perempuan sering dipenuhi kertas-kertas warna yang dipotong pelbagai bentuk dan ditampal mengikut susunan menarik.
"Pen warna juga sangat popular sebagai pelengkap hiasan biodata pelajar perempuan. Kadang-kadang duit belanja diperuntukkan bagi membeli pen warna dan ada pula yang meminjam rakan lain demi mencantikkan ruangan maklumat mereka," lucu kenangan yang disingkap Khalilah yang juga suka bersaing pada waktu itu.
Berbeza dengan lelaki, tambah Khalilah, pen biru atau hitam dan karikatur pemain bola sepak sudah cukup melengkapkan biodata kaum Adam.
Cerita graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu, kebanyakan lelaki menggunakan sehelai muka surat sahaja untuk biodata mereka dan ada antara mereka tanpa segan silu meletakkan nama perempuan yang diminati.

BUKU biodata milik Khalilah (kiri) dan Haiqal ini telah berusia hampir 12 tahun.


Taktik yang digunakan lelaki itu kadangkala menjadi dan dalam diam perempuan yang diminati itu memberi maklum balas positif.
"Buku biodata bukan sekadar buku maklumat kepada kami. Ia memberi keceriaan, menghidupkan suasana dan paling penting memberi kesempatan untuk kami mengenali kawan-kawan berlainan kelas.
"Cikgu-cikgu juga tidak pernah merasakan buku biodata sebagai perkara melekakan malah mereka juga sama-sama berkongsi maklumat dalam buku biodata pelajar.
"Maklumat yang diberi dahulu banyak telah berubah namun, apabila kita melihat kembali ia sebenarnya menunjukkan diri kita yang masih mentah dan jujur," ujar Khalilah.
Diganti Facebook
Kecanggihan teknologi telah mendorong perkembangan perhubungan. Dalam konteks buku biodata, ia kian pupus dan tidak lagi dipraktikkan majoriti pelajar sekolah.
Kelahiran laman-laman sosial bermula daripada Friendster, Myspace dan Facebook menggugat populariti buku biodata. Kemudahan perkongsian maklumat hari ini dirasakan lebih praktikal dalam kalangan anak-anak muda moden.
Haiqal sendiri lebih bersetuju dengan laman sosial baharu sebagai pengerat hubungan tetapi, tetap tidak menyangkal kelebihan yang dimiliki buku biodata.
"Banyak orang dalam laman sosial tidak jujur. Maklumat yang dikongsi juga kebanyakannya palsu. Masing-masing cuba menjadi orang lain agar kelihatan menarik sedangkan dalam dunia realiti karakter mereka bertentangan dengan apa yang dipaparkan.


TEKNIK membakar bahagian tepi kertas buku biodata sangat popular dalam kalangan pelajar pada zaman dulu.


"Buku biodata ditulis dengan keikhlasan. Tujuan kita untuk berkenalan itu berasaskan nilai persahabatan. Setiap orang menjadi diri sendiri dan komunikasi secara bersemuka juga dipraktikkan," ungkap Haiqal yang juga seorang penulis blog menggunakan nama QarlHaiqal.
Bagi Michelle Francif, 23, membesar pada era kegemilangan buku biodata memang seronok. Walaupun penguasaan Internet kian melebar kini, ia masih gagal menandingi ciri klasik yang dipunyai 'buku remaja' itu.
Wanita yang berasal dari Ipoh, Perak itu menyifatkan penggunaan tulisan tangan pada buku biodata menyerlahkan perbezaan yang dipunyai sahabat.
"Facebook dan laman sosial lain menggunakan tulisan bertaip dan kriteria itu tidak menarik. Perkongsian gambar dalam alam maya mungkin mudah, tetapi sudah tentu ia lebih baik dalam bentuk fizikal.
"Saya sering menampalkan gambar waktu sekolah dalam buku biodata. Apabila diselak kembali, ia mengingatkan betapa pentingnya nilai persahabatan ketika itu.
"Hanya dengan sebuah buku, ia dapat mengajar saya dan rakan-rakan lain berkomunikasi dan berkenalan dengan rakan baharu," kongsi Michelle yang masih menyimpan buku biodatanya yang dibuat pada tahun 2002.


ADMIN - teringat zaman sekolah rendah , antara cara nak tackle awek...hehe.

SUMBER - kosmo

Thursday, April 19, 2012

SEKSUAL NAIK!

Jenayah seksual naik 36 peratus


LAMAN sosial seperti Facebook didakwa antara punca kes jenayah seksual terhadap remaja semakin berleluasa. – Gambar hiasan



KUALA LUMPUR – Jumlah kes jenayah seksual termasuk rogol membabitkan mangsa berumur di bawah 16 tahun meningkat sebanyak 36.1 peratus atau 642 kes pada tahun 2011 berbanding tahun sebelumnya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar kecil) berkata, statistik polis mendapati sebanyak 1,777 kes jenayah seksual terhadap remaja dilaporkan sepanjang 2010 sebelum naik kepada 2,419 kes pada tahun lalu.
“Sebanyak 924 kes telah dilaporkan pada 2005, 1,301 kes (2006), 1,653 kes (2007), 1,871 kes (2008) dan 2,049 kes (2009),” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) pada persidangan Dewan Rakyat semalam.
Beliau memberitahu, banyak kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa penjenayah sewaktu mereka bersendirian di dalam atau di luar rumah.
“Antara faktor kes jenayah seksual ini meningkat ialah disebabkan kurang pendidikan dan agama, masalah dalam institusi kekeluargaan, pengaruh media massa dan media alternatif serta mangsa dan suspek melakukannya secara suka sama suka,” katanya.


SK? - INI SALAH SIAPA? PEMERINTAH ?

SUMBER KOSMO

Ada satu lagu yang mungkin ada berkaitan dengan artikel diatas disamping kita ambil iktibar..


Friday, February 17, 2012

MARATON USIA 89 TAHUN ? ADA BERANI?

Rahsia Fauja kekal stamina



FAUJA SINGH hanyalah seorang petani yang menetap di sebuah perkampungan kecil di Bias Pind, Jalandhar, Punjab.
Sepanjang hayatnya, dia hanya tahu mengusahakan tanaman tebu dan gandum untuk menyara keluarganya.
Ditemani isteri dan enam cahaya mata, tiga lelaki dan tiga perempuan, lelaki itu bahagia dengan kehidupan yang dilaluinya.
Bagaimanapun, pada usia mencecah 81 tahun, anak keduanya, Kuldip meninggal dunia akibat ditimpa palang besi ketika berada di rumah.
Sejak itu, Fauja mula berubah sikap. Dia lebih suka menyendiri dan mengalami kemurungan.
"Jiwa saya tertekan selepas kematiannya. Kebanyakan masa dihabiskan ke tempat upacara tempat pembakaran dan sering bercakap seorang diri," katanya dalam satu temu ramah bersama The Telegraph.
Bimbang dengan keadaan bapa mereka, anak lelakinya, Sukhjinder, yang menjalankan perniagaan di United Kingdom mempelawanya tinggal bersama sekitar tahun 1995.
Pada mulanya, Fauja sukar untuk membiasakan diri dengan kehidupan baharunya. Tidak hairanlah, masanya lebih banyak dihabiskan dengan menonton televisyen di rumah.
"Duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa sememangnya membosankan. Kebanyakan lelaki berusia di negara ini tidak mengawal pemakanan, kurang beriadah dan berkenderaan untuk ke mana-mana. Itu menyebabkan ramai antara mereka jatuh sakit," katanya.
Enggan perkara yang sama berlaku ke atasnya, lelaki itu mula berjoging di sekitar kawasan perumahan itu.
Dia mengenali sukan maraton selepas menyaksikan sekumpulan atlet lelaki dan wanita berlari dalam satu pertandingan yang disiarkan di televisyen.
Melihat kesungguhan atlet berkenaan berlari tanpa henti selama berjam-jam membuatkan dia berasa kagum, sekali gus membakar semangatnya untuk mencuba sukan yang agak asing bagi dirinya itu.
Lupakan kesedihan
Peluang itu hadir selepas dia menyertai satu larian maraton amal sejauh 32 kilometer (km) yang diadakan di tengah London. Tanpa diduga, dia berjaya menyudahkan larian sejauh 20 km.
"Saya mahu melarikan diri daripada kesedihan dan kesepian yang menghantui selama ini. Berlari merupakan satu-satunya pilihan yang ada," ujarnya.

KEJAYAAN Fauja di dalam sukan maraton turut dikagumi pemimpin-pemimpin terkenal dunia.


Pada usia 89 tahun, Fauja memberanikan diri menyertai London Marathon pada tahun 2000. Pada penyertaan pertama itu, dia berjaya menyudahkan larian sejauh 42 km dalam tempoh masa enam jam, 54 minit.
Jurulatih kecergasan dan bekas pelari maraton, Harmander Singh, yang kagum melihat kesungguhan Fauja, mengambil inisiatif untuk melatih dirinya.
"Saya melatih dia secara percuma," kata Harmander. Ia merupakan satu penghormatan kepada saya."
Harmander secara peribadi mengakui Fauja mempunyai tahap kesihatan yang mengagumkan pada usia sedemikian.
"Keputusan pemeriksaan kesihatan ke atasnya menunjukkan dia mempunyai tulang seperti mereka yang berusia 35 tahun."
Dengan bantuan Harmander, lelaki yang selesa dengan imej turban dan berjanggut putih sehingga ke paras dada itu berpeluang menyertai lebih 14 pertandingan maraton dan separa maraton yang diadakan di seluruh dunia.
Pada tahun 2003, ketika berusia 92 tahun, dia mencipta rekod maraton bagi kategori 90 tahun ke atas dengan catatan masa lima jam 40 minit.
Kagum dengan semangat yang ditunjukkan, jenama sukan terkenal, Adidas telah melantiknya sebagai duta bersama bintang bola sepak, David Beckham di dalam kempen, Impossible is nothing.
Wajahnya terpampang di papan-papan iklan utama di seluruh United Kingdom. Malah, syarikat itu juga telah mengeluarkan kasut khas, Fauja Singh Shoes sebagai penghormatan kepadanya.
Sejak itu, lelaki yang hanya fasih berbahasa Punjab itu mula menjadi tumpuan orang ramai di London. "Saya amat dihormati di sana, mereka menyayangi saya.
"Mereka bertanya apakah keistimewaan kaki saya yang kurus ini. Sukar untuk sesiapa percaya lelaki berusia 100 tahun mampu menyertai pertandingan maraton," katanya.
Bagaimanapun, tidak semua masyarakat di Barat mengalu-alukan kehadiran Fauja.
Dia menjadi subjek perkauman ketika menyertai pertandingan di New York selepas peristiwa 11 September 2004. Penonton-penonton yang hadir mengejeknya dan memanggilnya, Heym Osama Bin Laden dan Lihat, itu Saddam gara-gara imejnya itu.
"Biarpun marah, namun pelari-pelari lain berjaya menenangkan dan menyuruh saya supaya tidak mengendahkannya," ceritanya.
Pada bulan Oktober tahun lalu, Fauja diiktiraf sebagai pelari maraton tertua di dunia selepas berjaya menamatkan larian dalam tempoh lapan jam 11 minit ketika menyertai Toronto Waterfront Marathon di Kanada.
Kejayaan itu membolehkan dia memecahkan rekod berusia 35 tahun yang dipegang oleh seorang pelari dari Greece, Dimitrion Yordanidis, 98.
Popularitinya semakin meningkat, malah dia dianggap sebagai seorang wira di India.
Ketika pulang ke kampung halamannya sebelum ini, dia disambut puluhan peminat setianya.

KE MANA sahaja Fauja berada dia pasti menjadi tumpuan lensa kamera dan peminat-peminatnya.


Tumpuan peminat
Malah dia sentiasa menjadi tumpuan peminat yang mahu bergambar, termasuk ketika menghadiri sebuah majlis perkahwinan di sana.
"Saya boleh menjadi jutawan sekiranya saya mengenakan bayaran kepada mereka yang mahu bergambar," guraunya.
Ketika kanak-kanak, anak bongsu daripada empat beradik itu pernah melalui pelbagai pahit getir kehidupan.
Dilahirkan dalam sebuah keluarga miskin, Fauja dianggap berbeza berbanding adik-beradiknya yang lain kerana hanya mula berjalan ketika berusia lima tahun. Pada usia 15 tahun pula, dia hanya mampu berjalan sejauh 1.6 km.
"Kaki saya sangat lemah ketika kecil. Mungkin ia satu cara tuhan memeliharanya agar ia boleh digunakan sepenuhnya beberapa tahun kemudian," dedahnya di dalam buku biografi miliknya bertajuk, Turbaned Tornado: The Oldest Marathon Runner Fauja Singh.
Biografi setebal 144 muka surat itu diterbitkan pada 6 Jun tahun lalu. Penulisnya, Kushwant Singh sebelum itu pernah menulis buku mengenai Fauja, bertajuk, Sikhs Unlimited dan Mending Souls.
"Dia seorang lelaki unik. Dia berlari pada usia di mana orang lain sudahpun bersara, tenaganya amat luar biasa.
"Menulis biografi itu merupakan satu penghormatan besar kepada saya. Fauja telah memberi dimensi baharu terhadap makna ketahanan, aspirasi dan kekuatan," ujar Kushwant.
Di dalam biografi itu, lelaki yang mempunyai ketinggian 172 sentimeter itu turut berkongsi tip pemakanannya.
"Saya amat berhati-hati ketika memilih makanan dan hanya makan bila berasa lapar. Diet saya terdiri daripada sayuran hijau, yogurt, kacang daal, roti.
"Saya tidak menyentuh nasi, parata, pakoras dan makanan yang bergoreng. Saya minum banyak air dan teh halia."
Fauja turut mengakui umur panjang yang dimilikinya berkait rapat dengan gaya hidup positif yang diamalkan.
"Setiap hari saya bangun pukul 6 pagi dan berdoa kepada tuhan agar semua perkara-perkara negatif tidak wujud di dalam diri saya.
"Selepas itu saya akan berlari sekurang-kurangnya 10 km sehari," jelasnya.
Malah dia turut menjadi contoh kepada lima warga emas Britain berketurunan Sikh untuk terlibat di dalam maraton. Kesemua mereka berusia sekitar 80-an.
Sumbangan amal

RAHSIA kehidupan Fauja didedahkan di dalam buku biografi miliknya yang diterbitkan tahun lalu.
 
 

Biarpun kejayaan menjadi pelari maraton tertua di dunia tidak tercatat di dalam Guinness World Record disebabkan ketiadaan sijil kelahiran yang sah, namun Fauja tidak kecewa.
Sebelum ini, dia sudah menerima beberapa anugerah seperti Pride of India dan Ellis Island Medal of Honor di atas sumbangan amal yang dilakukan.
Lebih membanggakan, dia juga pernah menerima jemputan peribadi daripada bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf menyertai pertandingan maraton di Lahore pada tahun 2005.
"Kami bergambar bersama, ternyata beliau seorang yang peramah.
"Ratu Elizabeth II juga pernah menghantar telegram ucapan tahniah sempena ulang tahun kelahiran saya ke-100, malah saya juga pernah dua kali dijemput ke Istana Buckhingham," jelasnya.
Ditanya sampai bila dia akan terus berlari, ini jawapan Fauja : "Saya tidak akan berhenti sehinggalah saya mati. Sasaran saya sekiranya diizinkan tuhan ialah untuk menjadi pelari maraton yang tertua di dunia."




sumber - KOSMO

USIA 15 TAHUN JADI 116 TAHUN?

Ingatkan usia 15 tahun rupanya 116 tahun

MD. ISA (kanan) menunjukkan MyKad Puan (kiri) untuk mengesahkan umur sebenar warga emas itu 116 tahun di Kangar semalam.


KANGAR - Puan Ahmad, seorang warga tua di sini yang berada dalam keadaan dilema ekoran dikatakan berusia 15 tahun 10 bulan berdasarkan catatan dalam MyKadnya, berubah wajah semalam apabila mengetahui rupa-rupanya dia berumur 116 tahun.
Maklumat itu diketahui berdasarkan rekod yang disemak oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perlis yang mendapati bahawa warga tua tersebut sebenarnya telah dilahirkan pada tahun 1896 di Kodiang, Kedah.
Menurut Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu, penemuan tersebut sekali gus menjadikan Puan Ahmad sebagai orang tertua di negeri ini.
"Saya telah meminta JPN Perlis siasat kes Puan Ahmad dan mereka dapati dia sebenarnya telah dilahirkan pada tahun 1896.
"MyKad Puan tiada kesilapan tetapi sah sebab terdapat tanda '*' pada hujung nombor tersebut bagi memberi keunikan," katanya selepas melawat Puan di rumahnya di Kampung Padang Keria, Simpang Empat di sini semalam.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Penolong Pegawai Pendaftaran JPN Perlis, Mohd. Asri Jaafar yang memberi penerangan mengenai kes tersebut.
Akhbar semalam melaporkan mengenai seorang warga tua yang memiliki 47 orang cicit tidak sanggup lagi menghadapi dilema mengenai usianya yang dikatakan hanya 15 tahun 10 bulan berdasarkan catatan dalam MyKad.
Umur Puan Ahmad diambil kira berdasarkan MyKad yang diperolehnya, beberapa tahun lalu daripada JPN Kuala Nerang, Kedah iaitu 960412-02-0558*. Tanda '*' pada penghujung nombor MyKad tersebut turut membingungkan warga tua itu.

Thursday, February 16, 2012

NENEK USIA MUDA ?

Dilema nenek si gadis sunti 15 tahun


PUAN menunjukkan MyKad yang menyatakan dia dilahirkan pada tahun 1996 atau berusia 15 tahun sedangkan cucunya, Siti Noor Atikah Mat Yusop pula berusia 21 tahun di rumah mereka di Sanglang, Perlis semalam.


KANGAR – Seorang warga tua dari Kampung Padang Keria, Simpang Empat di sini yang memiliki 47 orang cicit kini tidak sanggup lagi menghadapi dilema usia beliau hanya 15 tahun 10 bulan berdasarkan catatan dalam MyKad.
Puan Ahmad yang mendakwa usianya kini melebihi 90 tahun berkata, masalah itu berlaku selepas MyKad yang diperolehnya pada tahun 1996 tertera dengan nombor 960412-02-0558*.
Dia juga bingung melihatkan wujud tanda * pada penghujung nombor MyKad itu.
Puan kini kecewa kerana mendakwa masalah itu menyebabkan dia terlepas peluang mendapat banyak kemudahan khusus untuk golongan warga emas selain gagal memohon wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Saya sudah rujuk masalah nombor MyKad ini kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perlis pada tahun lalu tapi mereka minta saya terus guna kad yang sama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Puan yang kini mempunyai empat orang anak, 19 cucu dan 47 cicit, dilahirkan di Tasik Melati, Padang Besar pada tahun 1920-an.
Katanya, masalah itu berlaku selepas dia memohon kad pengenalan baharu di JPN Kuala Nerang, Kedah, beberapa tahun lalu.


sumber - KOSMO

FOREX HARAM !

Haram main Forex Internet


URUS NIAGA Forex di Internet ditetapkan sebagai haram di sisi Islam berikutan wujud beberapa isu yang melanggar hukum syarak. - Gambar hiasan


KOTA BHARU - Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan aktiviti perdagangan mata wang asing (Forex) melalui Internet dan perkhidmatan broker bagi urus niaga itu sebagai haram.
Pengerusi Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, keputusan tersebut dibuat selepas pihaknya melaksanakan kajian dan mendapati ada beberapa isu yang meragukan.
"Ia antara lain tidak memenuhi syarat jual beli dalam Islam, tidak ada kontrak dan mendatangkan spekulasi yang besar. Seseorang boleh untung dan rugi pada suatu masa. Justeru, kami meminta orang Islam supaya tidak menyertai program atau perniagaan Forex di Internet, setakat ini ia haram," tegasnya ketika ditemui selepas Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-98 di sini semalam.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya mendapati perdagangan Forex melalui bank dan pengurup wang yang sah masih dibenarkan kerana semua transaksinya jelas dan tidak melibatkan spekulasi.
"Terdapat tiga jenis perdagangan Forex; pertama, bank ke bank, yang keduanya, menerusi pengurup wang, dan yang ketiga ialah perdagangan di Internet atau broker. 

sumber - KOSMO