Cara manual menjalinkan hubungan
BUKU berbalut kertas warna hitam itu tampak sedikit usang. Ditenung
secara kasar, ia tidak ubah seperti buku nota biasa kepunyaan pelajar
sekolah. Apabila diselak sehelai demi sehelai lembaran muka surat buku
tersebut, terbongkar nostalgia yang mencuit hati.
Cukup popular dengan nama buku biodata, buku peribadi milik Mohd.
Haiqal Abdullah Chik, 24, itu dipenuhi profil lebih 200 rakan sekolah
menengahnya.
Usia buku itu sahaja sudah mencecah 12 tahun, tetapi masih disimpan
sebagai kenangan terindah Haiqal. Masih hijau dalam benak lelaki itu,
fenomena buku biodata cukup kuat sehingga hampir setiap remaja dahulu
mempunyai buku biodata masing-masing.
"Saya mula membuat buku biodata pada tahun 2001. Ketika itu saya
merupakan pelajar tingkatan satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM),
Pendang, Kedah.
"Tujuan asal membuat buku itu adalah bagi mengumpulkan maklumat asas
rakan-rakan maktab seperti alamat dan nombor telefon mereka. Kami semua
datang dari negeri berbeza dan buku itu penting sebagai rujukan untuk
berhubung ketika waktu cuti.
"Maklum sahaja, waktu itu komunikasi menerusi telefon bimbit baru
hendak berkembang. Internet pula masih berada pada tahap awal. Hanya
buku biodata menjadi pengerat hubungan kami," imbas Haiqal yang berasal
dari Kuala Selangor.
Selaku trend yang pantas berkembang, tujuan asal buku tersebut
berubah menjadi lebih menarik. Ruangan maklumat asas diri turut memberi
peluang kepada rakan-rakan berkongsi informasi yang sebelum itu
dikategorikan sebagai rahsia.
Selain nama penuh dan alamat, maklumat seperti nama timangan, makanan
dan minuman kegemaran, rakan baik, cita-cita, kata-kata semangat dan
artis pujaan menunjukkan betapa ikhlas persahabatan yang dijalin saat
itu.
Tidak dinafikan informasi yang dikongsi adakalanya agak tidak relevan
tetapi hakikatnya, ia mencerminkan personaliti dan karakter seseorang
itu.
"Kelebihan buku biodata terletak pada kesungguhan seseorang itu
menghasilkan biodata diri mereka. Masing-masing cuba memberi maklumat
terbaik tentang diri dan bangga dengan apa yang ditulis.
POSTER Ziana Zain kerap ditemui dalam kebanyakan buku biodata remaja suatu ketika dahulu.
"Fakta yang diberikan juga tepat dan paling penting adalah kreativiti
mereka jelas dilihat berdasarkan biodata yang diisi. Ada dalam kalangan
mereka yang mengambil serius buku biodata ini sampai sanggup
menghiasnya dengan cantik," jelas Haiqal yang sedang mengikuti program
ijazah sarjana muda pendidikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di
Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.
Kreativiti perempuan
Seorang lagi bekas pelajar MRSM Pendang, Nur Khalilah Khalid, 24,
juga tidak terkecuali daripada memiliki buku biodata ketika zaman
sekolah. Menariknya, wanita yang kini bertugas sebagai pembantu
juruaudit itu menyediakan buku biodata mengikut kelas.
Bicara anak jati Kuala Lumpur itu, perbezaan ketara antara biodata
pelajar lelaki dan perempuan adalah dari segi kreativiti. Tidak
dinafikan, perempuan lebih kreatif, manakala lelaki gemarkan biodata
ringkas.
"Perempuan suka bersaing menghasilkan biodata yang paling cantik.
Selepas melihat kawan lain menonjolkan skil tersendiri, yang lain cuba
menyaingi dengan membuat biodata lebih kreatif.
"Disebabkan itu, biodata perempuan sering dipenuhi kertas-kertas
warna yang dipotong pelbagai bentuk dan ditampal mengikut susunan
menarik.
"Pen warna juga sangat popular sebagai pelengkap hiasan biodata
pelajar perempuan. Kadang-kadang duit belanja diperuntukkan bagi membeli
pen warna dan ada pula yang meminjam rakan lain demi mencantikkan
ruangan maklumat mereka," lucu kenangan yang disingkap Khalilah yang
juga suka bersaing pada waktu itu.
Berbeza dengan lelaki, tambah Khalilah, pen biru atau hitam dan
karikatur pemain bola sepak sudah cukup melengkapkan biodata kaum Adam.
Cerita graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor
itu, kebanyakan lelaki menggunakan sehelai muka surat sahaja untuk
biodata mereka dan ada antara mereka tanpa segan silu meletakkan nama
perempuan yang diminati.
 |
BUKU biodata milik Khalilah (kiri) dan Haiqal ini telah berusia hampir 12 tahun.
|
Taktik yang digunakan lelaki itu kadangkala menjadi dan dalam diam perempuan yang diminati itu memberi maklum balas positif.
"Buku biodata bukan sekadar buku maklumat kepada kami. Ia memberi
keceriaan, menghidupkan suasana dan paling penting memberi kesempatan
untuk kami mengenali kawan-kawan berlainan kelas.
"Cikgu-cikgu juga tidak pernah merasakan buku biodata sebagai perkara
melekakan malah mereka juga sama-sama berkongsi maklumat dalam buku
biodata pelajar.
"Maklumat yang diberi dahulu banyak telah berubah namun, apabila kita
melihat kembali ia sebenarnya menunjukkan diri kita yang masih mentah
dan jujur," ujar Khalilah.
Diganti Facebook
Kecanggihan teknologi telah mendorong perkembangan perhubungan. Dalam
konteks buku biodata, ia kian pupus dan tidak lagi dipraktikkan
majoriti pelajar sekolah.
Kelahiran laman-laman sosial bermula daripada Friendster, Myspace dan
Facebook menggugat populariti buku biodata. Kemudahan perkongsian
maklumat hari ini dirasakan lebih praktikal dalam kalangan anak-anak
muda moden.
Haiqal sendiri lebih bersetuju dengan laman sosial baharu sebagai
pengerat hubungan tetapi, tetap tidak menyangkal kelebihan yang dimiliki
buku biodata.
"Banyak orang dalam laman sosial tidak jujur. Maklumat yang dikongsi
juga kebanyakannya palsu. Masing-masing cuba menjadi orang lain agar
kelihatan menarik sedangkan dalam dunia realiti karakter mereka
bertentangan dengan apa yang dipaparkan.
TEKNIK membakar bahagian tepi kertas buku biodata sangat popular dalam kalangan pelajar pada zaman dulu.
"Buku biodata ditulis dengan keikhlasan. Tujuan kita untuk berkenalan
itu berasaskan nilai persahabatan. Setiap orang menjadi diri sendiri
dan komunikasi secara bersemuka juga dipraktikkan," ungkap Haiqal yang
juga seorang penulis blog menggunakan nama QarlHaiqal.
Bagi Michelle Francif, 23, membesar pada era kegemilangan buku
biodata memang seronok. Walaupun penguasaan Internet kian melebar kini,
ia masih gagal menandingi ciri klasik yang dipunyai 'buku remaja' itu.
Wanita yang berasal dari Ipoh, Perak itu menyifatkan penggunaan
tulisan tangan pada buku biodata menyerlahkan perbezaan yang dipunyai
sahabat.
"Facebook dan laman sosial lain menggunakan tulisan bertaip dan
kriteria itu tidak menarik. Perkongsian gambar dalam alam maya mungkin
mudah, tetapi sudah tentu ia lebih baik dalam bentuk fizikal.
"Saya sering menampalkan gambar waktu sekolah dalam buku biodata.
Apabila diselak kembali, ia mengingatkan betapa pentingnya nilai
persahabatan ketika itu.
"Hanya dengan sebuah buku, ia dapat mengajar saya dan rakan-rakan
lain berkomunikasi dan berkenalan dengan rakan baharu," kongsi Michelle
yang masih menyimpan buku biodatanya yang dibuat pada tahun 2002.
ADMIN - teringat zaman sekolah rendah , antara cara nak tackle awek...hehe.
SUMBER -
kosmo