Showing posts with label Sukan. Show all posts
Showing posts with label Sukan. Show all posts

Friday, February 17, 2012

MARATON USIA 89 TAHUN ? ADA BERANI?

Rahsia Fauja kekal stamina



FAUJA SINGH hanyalah seorang petani yang menetap di sebuah perkampungan kecil di Bias Pind, Jalandhar, Punjab.
Sepanjang hayatnya, dia hanya tahu mengusahakan tanaman tebu dan gandum untuk menyara keluarganya.
Ditemani isteri dan enam cahaya mata, tiga lelaki dan tiga perempuan, lelaki itu bahagia dengan kehidupan yang dilaluinya.
Bagaimanapun, pada usia mencecah 81 tahun, anak keduanya, Kuldip meninggal dunia akibat ditimpa palang besi ketika berada di rumah.
Sejak itu, Fauja mula berubah sikap. Dia lebih suka menyendiri dan mengalami kemurungan.
"Jiwa saya tertekan selepas kematiannya. Kebanyakan masa dihabiskan ke tempat upacara tempat pembakaran dan sering bercakap seorang diri," katanya dalam satu temu ramah bersama The Telegraph.
Bimbang dengan keadaan bapa mereka, anak lelakinya, Sukhjinder, yang menjalankan perniagaan di United Kingdom mempelawanya tinggal bersama sekitar tahun 1995.
Pada mulanya, Fauja sukar untuk membiasakan diri dengan kehidupan baharunya. Tidak hairanlah, masanya lebih banyak dihabiskan dengan menonton televisyen di rumah.
"Duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa sememangnya membosankan. Kebanyakan lelaki berusia di negara ini tidak mengawal pemakanan, kurang beriadah dan berkenderaan untuk ke mana-mana. Itu menyebabkan ramai antara mereka jatuh sakit," katanya.
Enggan perkara yang sama berlaku ke atasnya, lelaki itu mula berjoging di sekitar kawasan perumahan itu.
Dia mengenali sukan maraton selepas menyaksikan sekumpulan atlet lelaki dan wanita berlari dalam satu pertandingan yang disiarkan di televisyen.
Melihat kesungguhan atlet berkenaan berlari tanpa henti selama berjam-jam membuatkan dia berasa kagum, sekali gus membakar semangatnya untuk mencuba sukan yang agak asing bagi dirinya itu.
Lupakan kesedihan
Peluang itu hadir selepas dia menyertai satu larian maraton amal sejauh 32 kilometer (km) yang diadakan di tengah London. Tanpa diduga, dia berjaya menyudahkan larian sejauh 20 km.
"Saya mahu melarikan diri daripada kesedihan dan kesepian yang menghantui selama ini. Berlari merupakan satu-satunya pilihan yang ada," ujarnya.

KEJAYAAN Fauja di dalam sukan maraton turut dikagumi pemimpin-pemimpin terkenal dunia.


Pada usia 89 tahun, Fauja memberanikan diri menyertai London Marathon pada tahun 2000. Pada penyertaan pertama itu, dia berjaya menyudahkan larian sejauh 42 km dalam tempoh masa enam jam, 54 minit.
Jurulatih kecergasan dan bekas pelari maraton, Harmander Singh, yang kagum melihat kesungguhan Fauja, mengambil inisiatif untuk melatih dirinya.
"Saya melatih dia secara percuma," kata Harmander. Ia merupakan satu penghormatan kepada saya."
Harmander secara peribadi mengakui Fauja mempunyai tahap kesihatan yang mengagumkan pada usia sedemikian.
"Keputusan pemeriksaan kesihatan ke atasnya menunjukkan dia mempunyai tulang seperti mereka yang berusia 35 tahun."
Dengan bantuan Harmander, lelaki yang selesa dengan imej turban dan berjanggut putih sehingga ke paras dada itu berpeluang menyertai lebih 14 pertandingan maraton dan separa maraton yang diadakan di seluruh dunia.
Pada tahun 2003, ketika berusia 92 tahun, dia mencipta rekod maraton bagi kategori 90 tahun ke atas dengan catatan masa lima jam 40 minit.
Kagum dengan semangat yang ditunjukkan, jenama sukan terkenal, Adidas telah melantiknya sebagai duta bersama bintang bola sepak, David Beckham di dalam kempen, Impossible is nothing.
Wajahnya terpampang di papan-papan iklan utama di seluruh United Kingdom. Malah, syarikat itu juga telah mengeluarkan kasut khas, Fauja Singh Shoes sebagai penghormatan kepadanya.
Sejak itu, lelaki yang hanya fasih berbahasa Punjab itu mula menjadi tumpuan orang ramai di London. "Saya amat dihormati di sana, mereka menyayangi saya.
"Mereka bertanya apakah keistimewaan kaki saya yang kurus ini. Sukar untuk sesiapa percaya lelaki berusia 100 tahun mampu menyertai pertandingan maraton," katanya.
Bagaimanapun, tidak semua masyarakat di Barat mengalu-alukan kehadiran Fauja.
Dia menjadi subjek perkauman ketika menyertai pertandingan di New York selepas peristiwa 11 September 2004. Penonton-penonton yang hadir mengejeknya dan memanggilnya, Heym Osama Bin Laden dan Lihat, itu Saddam gara-gara imejnya itu.
"Biarpun marah, namun pelari-pelari lain berjaya menenangkan dan menyuruh saya supaya tidak mengendahkannya," ceritanya.
Pada bulan Oktober tahun lalu, Fauja diiktiraf sebagai pelari maraton tertua di dunia selepas berjaya menamatkan larian dalam tempoh lapan jam 11 minit ketika menyertai Toronto Waterfront Marathon di Kanada.
Kejayaan itu membolehkan dia memecahkan rekod berusia 35 tahun yang dipegang oleh seorang pelari dari Greece, Dimitrion Yordanidis, 98.
Popularitinya semakin meningkat, malah dia dianggap sebagai seorang wira di India.
Ketika pulang ke kampung halamannya sebelum ini, dia disambut puluhan peminat setianya.

KE MANA sahaja Fauja berada dia pasti menjadi tumpuan lensa kamera dan peminat-peminatnya.


Tumpuan peminat
Malah dia sentiasa menjadi tumpuan peminat yang mahu bergambar, termasuk ketika menghadiri sebuah majlis perkahwinan di sana.
"Saya boleh menjadi jutawan sekiranya saya mengenakan bayaran kepada mereka yang mahu bergambar," guraunya.
Ketika kanak-kanak, anak bongsu daripada empat beradik itu pernah melalui pelbagai pahit getir kehidupan.
Dilahirkan dalam sebuah keluarga miskin, Fauja dianggap berbeza berbanding adik-beradiknya yang lain kerana hanya mula berjalan ketika berusia lima tahun. Pada usia 15 tahun pula, dia hanya mampu berjalan sejauh 1.6 km.
"Kaki saya sangat lemah ketika kecil. Mungkin ia satu cara tuhan memeliharanya agar ia boleh digunakan sepenuhnya beberapa tahun kemudian," dedahnya di dalam buku biografi miliknya bertajuk, Turbaned Tornado: The Oldest Marathon Runner Fauja Singh.
Biografi setebal 144 muka surat itu diterbitkan pada 6 Jun tahun lalu. Penulisnya, Kushwant Singh sebelum itu pernah menulis buku mengenai Fauja, bertajuk, Sikhs Unlimited dan Mending Souls.
"Dia seorang lelaki unik. Dia berlari pada usia di mana orang lain sudahpun bersara, tenaganya amat luar biasa.
"Menulis biografi itu merupakan satu penghormatan besar kepada saya. Fauja telah memberi dimensi baharu terhadap makna ketahanan, aspirasi dan kekuatan," ujar Kushwant.
Di dalam biografi itu, lelaki yang mempunyai ketinggian 172 sentimeter itu turut berkongsi tip pemakanannya.
"Saya amat berhati-hati ketika memilih makanan dan hanya makan bila berasa lapar. Diet saya terdiri daripada sayuran hijau, yogurt, kacang daal, roti.
"Saya tidak menyentuh nasi, parata, pakoras dan makanan yang bergoreng. Saya minum banyak air dan teh halia."
Fauja turut mengakui umur panjang yang dimilikinya berkait rapat dengan gaya hidup positif yang diamalkan.
"Setiap hari saya bangun pukul 6 pagi dan berdoa kepada tuhan agar semua perkara-perkara negatif tidak wujud di dalam diri saya.
"Selepas itu saya akan berlari sekurang-kurangnya 10 km sehari," jelasnya.
Malah dia turut menjadi contoh kepada lima warga emas Britain berketurunan Sikh untuk terlibat di dalam maraton. Kesemua mereka berusia sekitar 80-an.
Sumbangan amal

RAHSIA kehidupan Fauja didedahkan di dalam buku biografi miliknya yang diterbitkan tahun lalu.
 
 

Biarpun kejayaan menjadi pelari maraton tertua di dunia tidak tercatat di dalam Guinness World Record disebabkan ketiadaan sijil kelahiran yang sah, namun Fauja tidak kecewa.
Sebelum ini, dia sudah menerima beberapa anugerah seperti Pride of India dan Ellis Island Medal of Honor di atas sumbangan amal yang dilakukan.
Lebih membanggakan, dia juga pernah menerima jemputan peribadi daripada bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf menyertai pertandingan maraton di Lahore pada tahun 2005.
"Kami bergambar bersama, ternyata beliau seorang yang peramah.
"Ratu Elizabeth II juga pernah menghantar telegram ucapan tahniah sempena ulang tahun kelahiran saya ke-100, malah saya juga pernah dua kali dijemput ke Istana Buckhingham," jelasnya.
Ditanya sampai bila dia akan terus berlari, ini jawapan Fauja : "Saya tidak akan berhenti sehinggalah saya mati. Sasaran saya sekiranya diizinkan tuhan ialah untuk menjadi pelari maraton yang tertua di dunia."




sumber - KOSMO

Saturday, June 11, 2011

FINAL PIALA FA 2011...KELANTAN ATAU TERENGGANU ?

 

                          


 Pasukan mana yang bakal menjuarai FINAL PIALA FA 2011 ?
Semuanya akan terjawab pada malam ini,
perlawanan akan berlangsung di Stadium Bukit Jalil pada pukul 8.45 malam.

Apakah pasukan Kelantan akan mejuarai Piala FA ini buat julung kali nya ?
Apakah pasukan Terengganu bakal menjulang trofi buat kali kedua selepas memenangi Piala FA 2000 ?

Mana-mana pasukan yang muncul juara bakal dikenang sebagai pasukan terakhir menjulang trofi yang mula diperkenal pada final edisi 2005 itu.
Ini kerana, satu trofi baharu akan diperkenalkan bermula pada Piala FA musim depan menggantikan trofi sedia ada itu yang hanya sempat digunakan untuk tujuh edisi final.

 SK?- sokongan padu untuk KELANTAN..GOMO KELATE GOMO..!!

Friday, June 3, 2011

VIBRAM Five Fingers - kasut umpama kulit luar kaki..

Vibram Five Fingers, ini la nama kasut yang agak unik bagi aku..

mula-mula tengok tu ada rasa lucu jugak..hahaha

macam pakai stokin pun ada..huhu

tapi apa pun, pencipta kasut ni lagi bijak daripada aku..huhu

kira teknologi hebat la ni..  

apa yang aku tahu kasut ni sesuai untuk bersukan dan rekreasi..

korang berminat dengan kasut ni tak?

or ada yang sudah pakai kasut ni?

kongsi-kongsi la cerita dengan aku..best ke kasut ni?







Saturday, May 14, 2011

Kelantan ratah Gergasi Merah



PENYERANG Kelantan, Khalid Jamlus (kiri) diasak dua pemain Selangor, Mohd Buyamin Omar (tengah)) dan Yosri Derma Raju pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam malam tadi.


KELANTAN boleh dikatakan sudah hampir pasti layak ke final Piala FA setelah membelasah teruk Selangor 5-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam malam tadi.
Dua jaringan Ramzul Zahini Adenan serta satu gol menerusi kapten, Badhri Radzi, Nurul Azwan Roya dan Norshahrul Idlan Talaha memastikan bekalan selesa Kelantan untuk separuh akhir kedua di Kota Bharu, Isnin ini.
Di hadapan 10,000 penyokong Selangor dan 20,000 penyokong Kelantan, pasukan pelawat tidak perlu menunggu lama untuk gol pertama pada minit ke-10 apabila Ramzul menolak masuk bola muntah selepas dua percubaan awal Nurul Azwan dan Norshahrul gagal ditangkap kemas penjaga gol Selangor, Saiful Amar Sudar.
Kelantan terus garang apabila berjaya menambah gol kedua juga menerusi Ramzul yang pantas menyambut hantaran Norshahrul hasil sepakan percuma Badhri pada minit ke-40.
Tiga minit kemudian, Kelantan mendapat gol ketiga menerusi Ba- dhri yang mudah menolak masuk bola hantaran Nurul Azwan dari sebelah kiri.
Pada babak kedua, Kelantan memasukkan Khalid Jamlus bagi menggantikan Ramzul yang cedera pada minit ke-54 dan seminit kemudian, Selangor melakukan dua pertukaran serentak memasukkan Rudie Ramli dan Fitri Shazwan Raduwan menggantikan Fadzli Saari dan Hardi Jaafar.
Namun kegarangan Kelantan sukar dibendung apabila mereka berjaya menambah gol keempat menerusi penyudah Nurul Azwan hasil serangan balas pada minit ke-67.
Gol kelima pula menyusul pada minit ke-71 selepas Norshahrul tenang menyudahkan lorongan Khalid.
Jurulatih Selangor, K. Devan akhirnya mengeluarkan Saiful Amar dan memasukkan penjaga gol simpanan, Iqbal Suhaimi pada minit ke-74 bagi mengelakkan gawang mereka terus dibolosi.
Rekod cemerlang penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang gawangnya tidak dibolosi sepanjang lima perlawanan berturut-turut musnah apabila Amri Yahyah meledak gol tunggal Selangor pada minit ke-90.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir pertama, Terengganu menewaskan Pahang 3-2 di Kuantan.

SUMBER KOSMO..

SEPARUH AKHIR PERTAMA PIALA FA 2011 – RED GIANT TUMBANG DI GELANGGANG SENDIRI..

Kelantan melangkah sebelah kaki ke Perlawanan Akhir Piala FA 2011 selepas MEMBELASAH 
Selangor 5 – 1 di Stadium keramat Selangor iaitu Stadium Shah Alam.

Pada perlawanan tersebut Kelantan bermula garang setelah Sayap Berbisa Kelantan, Nurul Azwan Roya nyaris membuka tirai jaringan pada minit ke – 2 namun sepakannya terkena tiang gol pasukan selangor.
Kelantan tidak menunggu lama untuk berada di depan setelah Ramzul Zahini Adenan berjaya menjaringkan Gol Pertama Kelantan pada minit ke 10″

Pada minit ke 19″ pula Azwan Roya sekali lagi mampu untuk menambah jaringan namun sepakannya sekali lagi terkena tiang gol pasukan Selangor.

Gol kedua kelantan akhirnya menjelma pada minit ke 40″ selepas Ramzul menyempurnakan hantaran cantik daripada Norshahrul Idlan Talaha untuk memberikan Kelantan selesa mendahului 2 – 0

Seakan tidak cukup dengan 2 gol, Kelantan menambah derita pasukan tuan rumah dengan jaringan ke 3 menerusi Kapten Kelantan Badhri Radzi atau Piya pada minit ke 43″.

Tamat Separuh masa pertama menyaksikan Kelantan selesa mendahului dengan gol 3 – 0.
Bersambung babak kedua, Kelantan sekali lagi mampu menambah jaringan menerusi Kapten Pasukan Badhri Radzi tetapi sepakannya kemas kedakapan Penjaga Gol Selangor iaitu Saiful Amar Sudar.
Minit ke 57″ pula Tendangan pemain sayap Selangor Amirulhadi Zainal di selamatkan oleh Khairul Fahmi Che Mat.

Minit ke 65″ Giliran nor shahrul idlan talaha pula menambah jaringan namun sepakannya tersasar.
Gol ke empat Kelantan akhirnya menjelma juga pada minit ke 67″ menerusi pemain sayap lincah Kelantan iaitu Nurul Azwan Roya dan tidak cukup dengan itu Shahrul Idlan Talaha menambah derita pasukan tuan rumah apabila berjaya menjaringkan gol ke lima kelantan pada minit ke 71″.

Minit 90″ Amri yahyah menjaringkan gol saguhati kepada penyokong Selangor.

Tamat Perlawanan Selangor 1 – 5 Kelantan.
* Dianggarkan Penyokong Kelantan 40 ribu dan Penyokong Selangor 20 ribu di stadium shah alam.
* Separuh Akhir Kedua akan dilangsungkan di Stadium Sultan Muhammed Ke IV pada 16 Mei 2011.



Perlawanan lain antara Pahang bertemu Terengganu pula berkesudahan Terengganu atasi Pahang 3-2..

SK? - Happy KELANTAN menang!

Sunday, May 1, 2011

Kelantan kembali ke puncak


BADRI (kiri) menjaringkan gol pembukaan Kelantan pada aksi menentang Kuala Lumpur di Kota Bharu malam tadi.


KELANTAN berjaya merampas kedudukan selaku pendahulu Liga Super 2011 daripada Selangor selepas membenam Kuala Lumpur 2-0 pada aksi di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi.
Skuad The Red Warriors itu melonjak ke tangga teratas liga setelah Selangor terikat 1-1 dengan Terengganu pada aksi malam kelmarin.
Jaringan daripada Badri Radzi pada minit ke-24 dan S. Chanturu (79) sudah cukup untuk meletakkan Kelantan di persada Liga Super dengan 33 mata, terikat dengan Red Giants namun memiliki kelebihan perbezaan jaringan.
Manakala Terengganu pula di tangga ketiga dengan 32 mata.
Sementara itu, Felda United pula mempamer kebangkitan luar biasa apabila berjaya mengikat Negeri Sembilan 2-2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi biarpun ketinggalan 0-2 sehingga awal babak kedua.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, T-Team terpaksa berpuas hati dengan satu mata setelah diikat seri tanpa jaringan oleh Pahang.
Di Stadium Utama Negeri, Kangar pula menyaksikan Perlis tumpas 1-2 kepada Harimau Muda A.
Di Stadium JCorp, tuan rumah, Johor FC berjaya menewaskan Sabah 1-0 selepas pasukan pelawat terpaksa bermain dengan 10 orang.

Sunday, January 30, 2011

KELANTAN MENANG BUKA TIRAI 2011


Pasukan Kelantan berjaya mengalah kan Selangor dengan jaringan 2-0 melalui Idlan Talaha dan Piya.
Seterusnya memenangi Piala Sumbangsih 2011.
Tahniah buat The RED WARRIOR.


Saturday, January 29, 2011

Wednesday, January 26, 2011

JEPUN MELANGKAH KE PERINGKAT AKHIR PIALA ASIA

Akhirnya kemenangan berpihak kepada pasukan Jepun, menerusi sepakan penalti 3-0.Setelah bermain 120 minit masa tambahan setelah terikat 2-2.






Jepun akan bertemu pemenang diantara Uzbekistan atau Australia nanti pada peringkat akhir Piala Asia Doha..

SK? predict Jepun akan bertemu Australia nanti... :)


Thursday, January 6, 2011

FENOMENA KFCM?

Fenomena KFCM?

KFCM?

Tau tak apa KFCM?
K-KHAIRUL
F-FAHMI
C-CHE
M-MAT




Kehangatan Malaysia mejuarai Piala Suzuki buat pertama kalinya masih terasa.
Boleh dikatakan setiap hari selepas MALAYSIA menjuarai Piala Suzuki , pasti ada cerita di dalam dada-dada akhbar tentang pasukan MALAYSIA.
Pemain-pemain seperti Safee Ali,Khairul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat sering kali menjadi bahan cerita di dada-dada akhbar,majalah,televisyen mahupun di dalam blog.

Paling jelas menonjol ialah Khairul Fahmi Che Mat,penjaga gol utama pasukan
MALAYSIA.
Memang tidak di sangkal, kehebatan dan ketangkasannya menjaga pintu gol MALAYSIA daripada di bolosi harus di beri pujian.
Tidak ketinggalan juga penyerang seperti Safee Ali yang berjaya menjaringkan gol untuk MALAYSIA.
Khairul Idlan Talaha pula berjaya mengucar kacirkan benteng pertahanan pihak lawan.

Penulis tumpang berbangga juga kerana penulis berasal dari Kota Bharu, satu negeri dengan Khairul Fahmi.

Empunya nama Khairul Fahmi Che Mat,atau lebih dikenali dengan nama 'Apex' kurang dikenali sebelum ini.Semasa awal penglibatanya dalam pasukan Kelantan,Apex di bayangi oleh penjaga gol yang lebih senior dan tinggi seperti Halim Napi,Shahrizan Ismail dan Syed Adney Syed Hassin.
Kehadiran penjaga gol yang tinggi lampai menyebabkan kudrat nya kurang diperlukan.Banyak berada di bangku simpanan dan menjadi rakan 'sparring' ketika sesi latihan.

Segalanya bermula apabila Halim Napi dan Shahrizan Ismail mengalami kecederaan, manakala Syed Adney pula mengalami kecederaan serta keyakinan pihak pengurasan dan peminat telah berkurang gara-gara banyak membuat kesilapan yang mudah.




Kesilapan mudah oleh Syed Adney



Kecederaan ketiga-tiga penjaga gol utama Kelantan itu menjadikan B.Sathinatahan tiada pilihan lain selain menurunkan Apek untuk pertemuan bertemu Selangor pada saingan suku akhir PIALA MALAYSIA.














Pertemuan Kelantan vs Selangor pada peringkat suku akhir Piala Malaysia 2010.
Khairul Fahmi membantu Kelantan memenangi pertemuan ini dengan menyelamatkan beberapa percubaan yang berbahaya dari pihak lawan.




Kelantan juara PIALA MALAYSIA 2010

Setelah membantu pasukan Kelantan menjuarai Piala MALAYSIA buat pertama kalinya, kudrat nya terus di tagih apabila jurulatih Rajagobal memanggil nya untuk melaporkan diri untuk persiapan Sukan Asia di Guangzho,China.Walaupun begitu pasukan MALAYSIA hanya mara untuk pusingan kedua.

Sememangnya Khairul Fahmi memiliki ketangkasan dan mental yang cukup kuat, sehinggakan dapat menyelamatkan sepakan penalti yang di ambil oleh kapten Indonesia. Ditambah pula dengan gangguan-gangguan oleh penyokong 'gila' Indonesia.




Khairul Fahmi ketika menyelamatkan sepakan penalti yang di ambil oleh Firman Utina



Isu pancaran laser benar-benar menjadi kecoh pada final Piala Suzuki baru-baru ini. Pada pusingan final yang pertama di Bukit Jalil,Markus iaitu penjaga gol Indonesia sering kali memujuk pengadil memberhentikan perlawanan di sebabkan pancaran laser. Perlawanan di hentikan kira-kira 5 minit setelah Markus mengajak pasukannya keluar padang.
Macam budak-budak la pulak kan...
Selain itu,media Indonesia juga hebat memperbesarkan isu ini.





Terlebih awal daripada itu, pasukan MALAYSIA juga tidak terkecuali menerima tempias pancaran laser ini ketika MALAYSIA kalah 5-1 kepada Indonesia.





Khairul Fahmi juga tidak terkecuali terkena pancaran laser,tetapi tidak sekali pun dia mengalah atau menunjukkan ketidakpuasan nya semasa perlawanan berlagsung.
Dia hanya menumpukan sepenuh nya fokus pada perlawanan.



Setelah membantu MALAYSIA menjuarai Piala Suzuki, namanya cukup di kenali ramai bukan sahaja di MALAYSIA bahkan di peringkat Asia. Nama nya terus melonjak naik di dalam medium seperti facebook dan twitter..Nama Khairul Fahmi berada di kedudukan kelima tertinggi di dunia bagi trend terkini rangkaian sosial Twitter!






Khairul Fahmi di dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O


fan page facebook Khairul Fahmi
http://www.facebook.com/Khairul.Fahmi21

Kemasyurannya kini juga membantu menaikkan pengikut blog si buah hati Khairul Fahmi iaitu Elia.
Penulis sendiri telah membaca blog Elia.
http://jejariruncing.blogspot.com/

Penulis terhibur setelah membaca blog Elia ini.Pelbagai cerita menarik tentang Khairul Fahmi dan juga cerita detik-detik pertemuan mereka bersama.

SK?- Bagi yang terbaik untuk pasukan MALAYSIA DAN KELANTAN deh !!
ALL THE BEST KHAIRUL FAHMI CHE MAT.

Wednesday, January 5, 2011

RUMAH UNTUK 'APEK'

Rumah untuk Khairul Fahmi


MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (kiri) menyampaikan cenderamata kepada penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atas kejayaannya mengharumkan nama Kelantan dan negara.


PENJAGA gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menerima khabar gembira apabila Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan pemberian hadiah berupa sebuah rumah ekoran kecemerlangannya membantu Malaysia muncul juara pada Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 yang berakhir di Jakarta minggu lalu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri bangga atas kecemerlangan anak muda itu membantu skuad kebangsaan muncul juara pada kejohanan tersebut.

Menurut beliau, sebagai mengenang budi dan menghargai jasanya yang berbakti melalui bola sepak, kerajaan negeri memutuskan untuk menghadiahkan sebuah rumah kepada Khairul Fahmi.

"Kita akan tetap beri hadiah. Itu kenyataan saya (pemberian sebuah rumah) dan segala butiran mengenai pemberian hadiah tersebut akan dilaksanakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Abdul Fattah Mahmood.

"Lokasi dan nilai rumah tersebut belum ditentukan. Bila kita menang bola sepak, kita dapat medal. Hadiah medal ini orang berebut satu dunia.

"Oleh itu, berapa nilai sesuatu hadiah ini sebenarnya tidak penting," katanya kepada pemberita selepas meraikan wira negara itu di Kota Bharu semalam.

Pada majlis itu, lebih 3,000 peminat dan penduduk kampung membanjiri sekitar kampung Cherang dekat Kota Bharu untuk menyambut kepulangan wira negara itu.

Khairul Fahmi yang menaiki kereta pacuan empat roda diiringi oleh 40 buah motosikal, tiba di kampung kelahirannya kira-kira pukul 12.20 tengah hari.

Ketibaanya disambut oleh kedua ibu bapanya, Che Mat Hussain dan Bidah Ibrahim.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz turut memberitahu bahawa bersukan merupakan suatu riadah yang sangat dituntut dalam agama Islam.

"Kita perlu seimbangkan antara tuntutan dunia dan akhirat. Bersukan boleh tetapi kita jangan lupa solat. Solat membentuk keperibadian akhlak yang mulia. Kita jangan terlibat dalam gejala najis dadah.

"Nabi kita dahulu pun bersukan juga. Masa saya berumur 11 tahun ketika zaman perang Jepun, saya menunggang kuda dengan beberapa adik-beradik dan kemudian saya menang," ujarnya.

Tambahnya, kerana terlampau gembira, beliau mengangkat kedua-dua tangan dan secara tiba-tiba seekor biawak melintas.

"Lalu kuda yang saya tunggangi itu pun terkejut dan saya pun jatuh. Sampai sekarang kesakitan itu masih terasa," jelasnya

Nik Abdul Aziz turut memberi nasihat kepada bintang muda itu agar jangan mudah lupa diri setelah dijulang sebagai wira bola sepak negara.

"Dia masih muda dan perlu menjaga diri dengan baik. Dengan bakat yang ada, dia boleh menonjol sampai bila-bila. Kita menghargai bakat dia serta keluarga dia, sebab itu kita berjanji nak beri hadiah rumah kepadanya," katanya.

Kejayaan skuad negara muncul juara kejohanan itu telah mengakhiri penantian sejak 14 tahun lalu.


SK? - " Main sedak deh,ambo sokong demo,hok peting kito jange lupo asal usul kito"

Thursday, December 30, 2010

PENYOKONG MALAYSIA YANG TERHEBAT DI ABAD INI DI SHAH ALAM...



MALAYSIA!
MALAYSIA!
MALAYSIA!

Salam Malaysia...bahang kehangatan malam final Piala Suzuki masih terasa lebih-lebih lagi apabila MALAYSIA telah menjadi juara untuk pertama kali nya sejak ianya di anjurkan..
Untuk entry kali ini, SK? dengan suka cita nya nak menayang kan video peminat bolasepak MALAYSIA yang telah menyaksikan perlawanan final kedua Piala Suzuki diantara INDONESIA bertemu MALAYSIA..
Bertempat di RESTORAN HAKIM,SEKSYEN 7, SHAH ALAM..
SK? sangat terkejut dan teruja sekali apabila melihat video ni..
Memang TERBAIK LAH...
SK? peroleh video ini daripada video yang di up load di dalam facebook kawan kepada kawan SK?
SK? percaya kebanyakan peminat yang memeriahkan suasana tersebut dari golongan pelajar iaitu Uitm Shah Alam dan Unisel.

SK?-thumbs up

SPIDERMAN INDON

Aksi penyokong Indonesia


GAMBAR yang disiar oleh akhbar KOMPAS.com semalam menunjukkan seorang penyokong Indonesia (dalam bulatan) berada di atas palang besi di bumbung Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta semalam.


JAKARTA - Seorang penyokong Indonesia duduk di atas palang besi pada bumbung Stadium Utama Gelora Bung Karno di sini untuk menonton pusingan kedua perlawanan akhir Piala Suzuki AFF antara Malaysia dan Indonesia, lapor akhbar KOMPAS.com semalam.

Penyokong yang tidak diketahui identitinya itu beraksi seperti adi wira Spiderman apabila dia berjalan dari satu tiang ke tiang lain di atas bumbung stadium itu.

Sekilas pandang, dia dilihat membawa bendera Merah Putih Indonesia yang tertera nombor 4-0 yang bermaksud kemenangan skuad Indonesia.

Ketika perlawanan itu berlangsung semalam, Spiderman tersebut berkali-kali mengibarkan benderanya sebagai sokongan kepada pasukan bola sepak tanah airnya.

Aksi beraninya menarik perhatian orang ramai termasuk kumpulan kakitangan media kerana Spiderman itu duduk dekat ruang wartawan membuat liputan.

Dalam perlawanan akhir pusingan kedua itu, Malaysia tewas 1-2 kepada Indonesia.

Namun, pada pusingan pertama yang diadakan di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad lalu, Malaysia menang 3-0 ke atas Indonesia.

Malaysia menang dengan agregat 4-2 sekali gus menjulang Piala AFF Suzuki buat pertama kali. - Agensi

AKHIRNYA KITA MENANG.....

Penantian 14 tahun berakhir


PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan muncul juara Piala Suzuki AFF 2010 buat kali pertama selepas menang dengan agregat 4-2 ke atas Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta malam tadi.


JAKARTA - Setelah menanti selama 14 tahun, Malaysia akhirnya berjaya muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 menerusi agregat 4-2.

Biarpun tewas 1-2 kepada Indonesia pada final kedua di Stadium Utama Gelora Bung Karno di sini malam tadi, Malaysia telah menang 3-0 pada final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad lalu.

Kejuaraan tersebut mengesahkan status Malaysia sebagai raja bola sepak Asia Tenggara setelah saingan peringkat bawah 23 tahun iaitu Sukan SEA turut dijuarai Malaysia di Laos pada 2009.

Kecemerlangan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan sepakan penalti kapten Indonesia, Firman Utina pada separuh masa pertama serta jaringan Mohd. Safee Mohd. Sali pada awal babak kedua menjadi detik pengubah perlawanan malam tadi.

Isu laser yang sering diperbesarkan Indonesia sebelum ini akhirnya terpalit kepada mereka sendiri apabila Khairul Fahmi tiga kali diganggu pancaran laser ke arah mukanya.

Ia bermula apabila Indonesia memperoleh sepakan sudut pertama pada minit kelapan diikuti ketika sepakan percuma pada minit ke-12 dan satu lagi sepakan sudut seminit kemudian.

Namun, Khairul Fahmi membuktikan dirinya tidak selembik penjaga gol Indonesia, Markus Harison yang 'alah' dengan pancaran laser ketika aksi final pertama di Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Permainan hampir berubah menjadi milik Indonesia apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-18 setelah bola terkena tangan Sabre Mat Abu ketika berlaku pergelutan di depan pintu gol.


Syabas pasukan bolasepak MALAYSIA.Aku bangga jadi rakyat MALAYSIA-SK?

Tuesday, December 28, 2010

LASER LASER LAGI....

Pekung laser Indonesia terdedah


SEDUTAN video menunjukkan penjaga gol Malaysia, Sharbinee Alawi terkena pancaran laser hijau (dalam bulatan) semasa perlawanan menentang Indonesia di Jakarta baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Jika peminat bola sepak Malaysia dipersalahkan kerana didakwa menggunakan pena pancaran laser, ada pengendali blog semalam mendedahkan perbuatan yang sama juga telah dilakukan oleh peminat skuad Garuda ketika perlawanan peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2010 antara kedua-dua negara itu baru-baru ini.

Menurut entri blog Adamroslan.com yang bertajuk 'Piala Suzuki AFF 2010: Laser Hijau Siapa Yang Mula Dulu?' pengendali blog itu memuat turun klip video yang dihantar oleh seorang peminat bola sepak tempatan perlawanan berkenaan sewaktu Malaysia kalah 1-5 di tangan Indonesia pada 4 Disember lalu.

"Pendedahan klip video itu yang disunting daripada video rasmi AFF telah membuka pekung pasukan Indonesia yang bermain taktik ini semasa mengalahkan Malaysia pada perlawanan peringkat kumpulan," katanya.

Menurut blog itu, ia juga bukti peminat bola sepak di republik itu juga turut bermain kotor.

"Jika benar faktor kekalahan Indonesia adalah kerana laser hijau, mereka perlu tanya kepada diri sendiri apa penyokong mereka buat di Stadium Gelora Bung Karno yang perlawanan peringkat kumpulan dahulu?," ujarnya.